KUCHING: Seramai 10 menteri dan 26 menteri muda selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini mengikut garis panduan (SOP) COVID-19.

Abdul Taib serta isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib bagaimanapun menghadiri istiadat angkat sumpah itu secara maya di kediaman mereka.

Istiadat Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri-Menteri Muda Negeri Sarawak itu dimulakan dengan tiga Timbalan Ketua Menteri terdiri daripada Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Istiadat angkat sumpah 10 menteri utama itu kemudian diikuti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Datuk Seri Fatimah Abdullah (Menteri Wanita, Pembangunan Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti); ADUN Kemena Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom (Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah); ADUN Asajaya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (Menteri Pelancongan,  Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan).

Kemudian diikuti ADUN Senadin Datuk Seri Lee Kim Shin (Menteri Pengangkutan); ADUN Kakus Datuk John Sikie Tayai (Menteri di Pejabat Ketua Menteri); ADUN Sebuyau Datuk Julaihi Narawi (Menteri Utiliti dan Telekomunikasi) dan ADUN Tarat Datuk Roland Sagah Wee Inn (Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat).

Sementara itu antara 12 muka baharu yang mengangkat sumpah hari ini ialah ADUN Mulu, Datuk Gerawat Gala sebagai Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) dan ADUN Jemoreng Datuk Juanda Jaya (Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Integriti dan Ombudsman).

ADUN Pelawan, Michael Tiang Ming Tee (Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II); ADUN Layar Dato Gerald Rentap Jabu (Menteri Muda Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan I); ADUN Bukit Goram (Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang dan Adat Resam Anak Negeri) dan ADUN Sadong Jaya Ir. Aidel Lariwoo (Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan I).

Kesemua menteri serta menteri muda Kerajaan Negeri Sarawak disahkan hadir dalam istiadat angkat sumpah berkenaan.

Pada 30 Disember 2021, Abang Jo telah mengumumkan barisan Kabinet beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam pada 18 Disember 2021.